Friday, January 17, 2014

RESOLUSI PERSIDANGAN TANAH ORANG ASLI JKOASM KE -5

TARIKH            :    21hb  - 25hb November 2013
TEMPAT           :    YMCA, Kuala Lumpur


PENGIKTIRAFAN DAN PERLINDUNGAN TANAH DAN WILAYAH ADAT

Dalam persidangan ini, yang dihadiri oleh perwakilan Orang Asli seramai 110 orang perwakilan dari 7 negeri iaitu Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Selangor dan Kelantan dibawah Jaringan Kampung Orang Asli di Semenanjung Malaysia (JKOASM), kami sebulat suara menghasilkan 19 resolusi untuk menguatkan lagi syor-syor yang terkandung dalam Laporan Inkuiri Nasional SUHAKAM (Suruhan Jaya Hak Asasi Manusia) mengenai hak Orang Asli/Asal. Maka dengan itu kami;

1.   Sebulat suara menyokong penuh kesemua 18 syor dalam Laporan Inkuiri Nasional mengenai Hak Tanah Adat Orang Asli oleh SUHAKAM dan menggesa kerajaan tidak menolak mana mana syor tersebut.

2.   Mengalu-alukan penubuhan TASK FORCE (Pasukan Petugas Khas) untuk melaksanakan syor-syor yang dikemukakan supaya hak Tanah Orang Asli diiktiraf, terjamin, dipulihara dan dilindungi.

3.  Menegaskan bahawa pemeliharaan kepentingan tanah Orang Asli juga penting untuk pembangunan dan kesejahteraan mereka. oleh yang demikian, tindakan afirmatif amat diperlukan daripada pihak kerajaan untuk mengiktirafkan Hak Tanah dan wilayah Adat Orang Asli secara nyata.

4. Menganggap sebarang pencerobohan dan pengambilan tanah Orang Asli secara paksa adalah satu jenayah yang harus dihentikan.

5. Menuntut kerajaan negeri dan kerajaan  pusat mengiktirafkan dan menerima pakai sistem tanah dan wilayah adat Orang Asli.

6.  menyokong penuh syor ke 17 yang menunjukkan tanah adat adalah asas dan dasar kepada identiti, agama, budaya, adat resam, pengetahuan dan kewujudan Orang Asli di negara ini (MALAYSIA) Tanah bukan sahaja sebagai sumber kepada ekonomi semata mata bagi Orang Asli tetapi untuk menjamin kesinambungan kerohanian, kebudayaan, dan identiti mereka sejajar dengan perkara 11 perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan kebebasan beragama.

7.   mengesyorkan supaya pengiktirafan tanah Orang asli harus dilakukan melalui kaedah Hakmilik/ Geran Komunal iaitu kuasa dimiliki oleh komuniti Orang Asli untuk mengurus, mengguna dan memulihara tanah tersebut dipegang sepenuhnya oleh Orang Asli. Hal ini disebabkan dasar pentadbiran tanah sekarang lebih cenderung menghadkan kepada pemberian tanah hak milik individu. Maka dengan itu kami menuntut Dasar Pemberimilikan dan Pembangunan Tanah Orang Asli (DPPTOA) 2009 dimansuhkan dengan segera.

8.  menegaskan sekali lagi dengan sesungguhnya bahawa konsep Tanah Orang Asli adalah seperti berikut:

     i) Istilah Tanah Orang Asli bukan kawasan rayau dan istilah tepatnya adalah
 
   ii) Tanah dan Wilayah Adat (TWA) berasaskan prinsip satu komuniti satu wilayah adat.

  iii) Sempadan TWA jelas dan berdasarkan tanda alam yang sama sama telah dipersetujui komuniti                      setempat dan juga komuniti berhampiran berpandukan sejarah nenek moyang orang asli.

  iv)  Urus, tadbir, guna dan pulihara tanah adat secara bersama berpandukan hukum adat dan upacara                upacara adat komuniti Orang Asli setempat yang diamalkan sejak turun temurun.

  v)  mementingkan keharmonian, perlindungan, keseimbangan, kesamarataan dan kesinambungan diantara            komuniti setempat, tanah dan sumber alam semulajadi bersama jiran TWA yang lain.

  vi)  menjamin hak asasi setiap individu komuniti setempat termasuk wanita, remaja dan kanak-kanak.

9.    menuntut bahawa kawasan hakmilik/ geran komunal tersebut semestinya diiktiraf bersama masyarakat Orang Asli dengan memberikan hormat dan pengiktirafan sewajarnya kepada sistem pendudukan, penggunaan dan tradisi tanah Orang asli setempat yang sedia ada (misalnya kawasan wilayah adat yang digelar secara rasmi sebagai tanah rayau). bagi kawasan tanah yang hilang (hanya atas alasan bahawa tanah tersebut sudah lama digeran kepada pihak ke-3) komuniti Orang Asli berkenaan seharusnya diberi geran tanah gantiyang sesuai atau sekiranya tidak terdapat tanah yang sedemikian, pampasan yang memadai harus dibayar. kalau terdapat apa apa pertikaian mengenai hal ini, ianya mestilah diputuskan oleh tribunal bebas yang mengambil kira perspektif Orang Asli, seperti mana yang disyorkan oleh SUHAKAM dan juga yang terkandung dalam Deklarasi Hak Orang Asal Sejagat (UNDRIP)

10.  menuntut bahawa kawasan TWA Orang Asli yang bertindih dengan mana mana rizab lain misalnya rizab hutan, rizab PERHILITAN dan sebagainya dibatalkan dan digantikan dengan hak milik komunal yang dikeluarkan atas nama Komuniti Orang Asli setempat tanpa kos dan cukai tanah.

11.  menuntut pengiktirafan hak milik komunal yang dicadangkan juga akan memberi jaminan dan perlindungan serta pemuliharaan hak asasi semua kaum Orang Asli termasuk hak kaum wanita, remaja dan kanak-kanak ke atas TWA Orang Asli daripada pelbagai aspek.

12.  menuntut supaya Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri menuruti prinsip MABT (Makluman Awal Bebas dan Telus) dalam segala perbincangan/ urusan/ perlaksanaan mengenai undang-undang/ dasar dan sebagainya berkaitan hak tanah Orang Asli serta lain-lain perkara yang melibatkan kepentingan Orang Asli.

13.  menuntut pengiktirafan hak TWA Orang Asli dimasukkan secara jelas dan nyata didalam perlembagaan persekutuan.

14.  menuntut kerajaan-kerajaan negeri segera merealisasikan peruntukan perkara 8(5) (c) bagi melindungi TWA Orang Asli.

15.  menuntut kerajaan kerajaan negeri menghentikan kelulusan dan perlaksanaan polisi-polisi serta program program pentadbiran tanah Orang Asli sehingga hasil laporan Task Force dalam melaksanakan syor syor SUHAKAM selesai.

16.  menyokong penuh syor yang menetapkan bahawa peranan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) harus dikaji semula memandangkan jabatan ini telah gagal untuk menangani isu-isu TWA Orang Asli dan juga atas sebab gagal membawa pembangunan kepada Orang Asli sebagaimana yang sepatutnya.

17.  mengesyorkan Seksyen 3 Akta 134 dipinda untuk tujuan memberi kuasa menentukan siapa Orang Asli itu adalah dipegang oleh Orang Asli menurut adat setempat dan bukannya ditentutkan oleh Menteri dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA)

18.   menyokong penuh satu suruhanjaya bebas ditubuhkan untuk Orang Asli bagi tujuan diatas sebagaimana yang disyorkan oleh SUHAKAM dalam Laporan Inkuiri Nasional (syor ke 18).

19.   menuntut agar Akta 134 dan akta lain yang berkaitan hendaklah dipinda untuk memasukkan -peruntukan bagi tujuan mereallisasikan perlaksanaan kaedah tersebut. sekiranya perlu, satu undang-undang baru hendaklah digubal bagi tujuan ini.



No comments:

Post a Comment